HANOI – Seramai 12 orang disahkan maut, manakala 11 lagi cedera dalam satu insiden kebakaran di sebuah pusat karaoke di bandar Thuan An, wilayah Binh Duong, Vietnam.
Kejadian itu berlaku sekitar pukul 9 malam semalam (waktu tempatan) di Karaoke An Phu apabila satu letupan berlaku di tingkat dua dan tiga pusat hiburan tersebut.
Api merebak dengan cepat, sekali gus menyebabkan ramai kakitangan dan pelanggan terperangkap di dalam kawasan seluas 400 meter persegi di tingkat dua dan tiga premis yang telah beroperasi selama lima tahun itu.
Kebakaran semakin marak apabila ia mengenai dinding busa kalis bunyi dan bahagian dalam bangunan yang diperbuat daripada kayu.
Ramai mangsa terpaksa bergegas ke balkoni kerana pintu kecemasan terhadang oleh api dan empat orang memilih untuk terjun dari tingkat dua pada ketinggian yang dianggarkan lapan meter untuk menyelamatkan diri.
Pihak bomba mengambil masa 40 minit dengan kekuatan 13 jentera bomba bagi memadamkan kebakaran.
Seorang pegawai tempatan mengesahkan bahawa 12 orang maut dan 11 cedera dalam kebakaran itu.
“Pasukan penyelamat masih mencari mangsa di tempat kejadian. Punca kebakaran belum dapat dipastikan dan sedang disiasat,” kata pegawai tertinggi parti komunis yang memerintah di bandar Thuan An, Nguyen Thanh Tam.
Seorang saksi, Duong Ba Khuong berkata, seorang penyambut tetamu berlari keluar sambil menjerit bahawa terdapat 40 orang terperangkap semasa kebakaran bermula.
“Ada yang berlari turun melalui pintu utama dan beberapa mangsa terpaksa terjun dari tingkat tiga sehingga patah anggota badan,” katanya. – AFP