PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mesej tular berkaitan sindiket menggunakan kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah dan didakwa akan dibunuh, organ dicuri serta dirogol adalah palsu.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, pihaknya mengesan satu mesej tular di media sosial mendakwa ianya notis ‘amaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan balai polis seluruh negara’.
“Mesej tersebut mendakwa terdapat pihak menggunakan kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah mereka sebagai taktik untuk meraih bantuan bagi dihantar pulang.
“Mana-mana individu yang membantu menghantar kanak-kanak demikian ke alamat yang tertera, didakwa akan dibunuh, organ dicuri dan dirogol,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Sehubungan itu, Skandaguru mengesahkan mesej yang ditularkan tersebut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh KDN atau PDRM.
“Semakan juga mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah seperti yang ditularkan.
“Sekiranya orang ramai berhadapan dengan kejadian seperti yang dinyatakan dalam mesej, PDRM menasihati agar kanak-kanak yang dijumpai terus dibawa ke balai polis berdekatan agar tindakan lanjut dapat diambil oleh pihak berkuasa,” ujarnya – KOSMO! ONLINE