SHAH ALAM – Polis sedang memburu seorang lelaki yang tular mengintai guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara, Seksyen 21 di sini, pertengahan bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu melibatkan mangsa berusia 32 tahun yang membuat laporan polis pada 15 Ogos lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati guru itu membawa pelajar ke kompleks berkenaan bagi latihan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan.
“Sewaktu berada dalam tandas wanita, mangsa mendapati seorang lelaki mengintainya dari bilik bersebelahan.
“Mangsa mendakwa hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek dan tiada sebarang peralatan dipegang untuk merakamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Iqbal, lelaki itu keluar melarikan diri selepas mendengar jeritan mangsa dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek dan mendapatkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi berdekatan lain,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi lebih dua minit memaparkan seorang lelaki berpakaian gelap mundar mandir di hadapan tandas tersebut dan suspek kemudian membuka pintu memasuki tandas berkenaan. -KOSMO! ONLINE