KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke -35 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mempertikaikan transaksi perbelanjaan dua kad kredit miliknya yang mempunyai had kredit gabungan RM3 juta, antara yang tertinggi pernah diberikan oleh Ambank.
Bekas Naib Presiden Kanan Pengurusan Penipuan Perbankan Ambank Yeoh Eng Leong, 61, berkata, malah Najib juga tidak pernah membuat aduan berhubung transaksi berkenaan kepada pihak Ambank.
“Saya percaya ini adalah salah satu had kredit tertinggi (kad kredit) di Ambank,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd. Izhar.
Terdahulu dalam keterangannya hari ini Eng Leong turut mengesahkan Najib adalah pemegang kad kredit Visa Platinum dan kad kredit Mastercard Platinum dengan had kredit gabungan RM3 juta.
Untuk rekod saksi itu berkata, berdasarkan kepada penyata Ogos 2011, satu transaksi direkodkan pada 21 Julai 2011 menggunakan Mastercard di Hotel The Westin Excelsior R Roma Itali berjumlah £22,461.62 atau RM98,013.63.
Sementara penyata September 2011, saksi itu berkata kad Visa Najib digunakan pada 21 Ogos 2011 untuk tiga transaksi di KLCC (RM4,145 di Aigner, RM910 di Hugo Boss dan RM880 juga di Hugo Boss).
Selain itu, Eng Leong berkata terdapat juga bayaran balik tanpa cukai daripada United Kingdom sebanyak RM2,190.68 yang direkodkan pada 30 Ogos 2011.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok – KOSMO! ONLINE