fbpx

Usaha sama Novartis, CRM jadikan SGH sebagai tapak percubaan klinikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ElWakil (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif CRM Akhmal (duduk dua dari kanan) menandatangani perjanjian sambil disaksikan oleh Khairy Jamaluddin (tengah, belakang) di Kuching hari ini.

PETALING JAYA – Novartis Malaysia (Novartis) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Clinical Research Malaysia (CRM) untuk menjadikan Hospital Umum Sarawak (SGH) sebagai tapak percubaan klinikal pilihan utama menjalankan ujian tajaan Novartis di Malaysia.

 MOU ini dibentuk berdasarkan akreditasi SGH pada 2019 di bawah Program Pemeriksaan & Akreditasi Unit Fasa 1 Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan yang membolehkan kajian fasa awal tersebut dijalankan.

 Presiden Negara Novartis, Dr. ElWakil Mohamed berkata, sebagai pusat kecemerlangan untuk ujian klinikal, SGH kini dapat menyediakan akses kepada pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan terapi dan rawatan inovatif yang mungkin tidak dapat dicapai.

 “Semasa ujian, mereka akan dipantau rapi oleh pasukan profesional penjagaan kesihatan. 

“Sekiranya pesakit bertindak balas dengan baik terhadap rawatan, ia akan membolehkan mereka menjalani kualiti hidup lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pemeteraian MoU yang turut disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Kuching, Sarawak hari ini.

Elwakil menjelaskan, melalui perkhidmatan itu juga, ia bakal menarik lebih ramai pakar dan bakat ke negeri ini, yang akan menangani jurang kesaksamaan kesihatan di Malaysia Timur.

 Tambah beliau, melalui MoU itu juga, ia berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang pekerjaan mahir baharu.

Menurutnya, dengan peningkatan bilangan kajian yang dijalankan di Malaysia, seterusnya ia akan mendorong negara untuk memperoleh reputasi sebagai hab serantau yang terkemuka untuk ujian klinikal dalam industri farmaseutikal,” jelasnya.

“Sebagai sebahagian daripada tujuan kami untuk mengimaginasi semula perubatan bagi menambah baik serta memanjangkan hayat rakyat, Novartis Malaysia telah menyokong dalam mengukuhkan penjagaan kesihatan negara, khususnya dalam bidang penyelidikan dan ujian klinikal. 

“Pada tahun 2020, kami melabur dalam 38 ujian klinikal (CT) dalam kardio-metabolik, pernafasan, kanser payudara dan oftalmologi dan kira-kira 194 pesakit tempatan telah didaftarkan dalam CT ini.

 “Antara 2015 dan 2021, Novartis membawa masuk 68 penyelidikan tajaan, sekali gus menjadikannya penyumbang utama ujian klinikal oleh syarikat farmaseutikal multi nasional di negara ini dan sebagai rakan kongsi berharga kepada Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Selain itu, ElWakil menerangkan, perkongsian tersebut merupakan  peristiwa penting bagi Novartis  untuk  meningkatkan jejak penyelidikan syarikat di Malaysia. 

Perkongsian dengan CRM akan mewujudkan platform untuk meningkatkan keupayaan tempatan, meningkatkan kualiti percubaan klinikal dan meningkatkan akses kepada rawatan transformatif di negara ini.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin dalam ucapan sempena pemeteraian MoU itu memaklumkan, kerjasama ini merupakan satu  pencapaian penting menjadikan Malaysia sebagai hab terkemuka daripada segi penyelidikan klinikal dan ujian klinikal di Asia Tenggara. 

“Dengan kemasukan fasa awal percubaan klinikal di negara ini, rakyat  akan dapat mengakses terapi dan rawatan inovatif yang mungkin tidak dapat dicapai.”

  “Melalui MoU ini, SGH kini akan menjadi tapak pilihan dan pusat kecemerlangan di Malaysia. Daripada perspektif bakat dan nilai, ia akan menarik lebih ramai pakar dan bakat ke negeri ini, yang boleh menyumbang kepada ekonominya dan menangani keperluan yang tidak dipenuh,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI