fbpx

Mendaki beri kesan positif mental, fizikal dan rohani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVITI mendaki gunung atau bukit membantu membina otot dan tulang yang kuat. – GAMBAR HIASAN

Malaysia mempunyai lebih 240 gunung dan bukit yang boleh didaki berketinggian 339 hingga 4,095 meter. Mendaki sesuai untuk pengembaraan, meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan serta meningkatkan rembesan adrenalin di samping merasai anugerah alam ciptaan Maha Esa.

Semasa kecil, Saidina Umar Al-Khattab juga dilatih bapanya mendaki bukit dan menuruni lembah sambil menggembala unta dan kambing supaya beliau menjadi pahlawan yang kuat dan gagah.

Mendaki membantu membina otot dan tulang yang kuat serta sihat. Ia adalah senaman yang membantu membina jisim otot dalam meningkatkan keseimbangan dan mencegah osteoporosis.

Apabila ketinggian meningkat dan suhu persekitaran menurun, otot akan berfungsi menjana haba untuk mengekalkan suhu badan pendaki sekitar 36.5 darjah Celsius.

Setiap denai memerlukan pendaki menyesuaikan diri dengan bentuk muka bumi dan sudut cerun yang berbeza, jadi kumpulan otot yang berbeza digunakan.

Menuruni bukit juga baik untuk menguatkan lutut dan kelenturan otot fleksor di pinggul di samping menguatkan teras dan bahagian bawah badan. Kajian menunjukkan mendaki pada waktu pagi meningkatkan pendedahan terhadap sumber nutrien vitamin D yang baik untuk tulang.

Senaman kardio termasuk mendaki dan menuruni bukit membuatkan jantung berdegup kencang, lalu meningkatkan aliran darah ke saluran kecil di sekeliling jantung.

Peningkatan aliran darah ini boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, gula darah dan beberapa jenis kanser. Ia juga akan membantu mencegah penyakit berkaitan gaya hidup seperti hiperlipidemia dan diabetes.

Mendaki juga boleh meningkatkan imuniti. Kajian mendapati sel darah putih meningkat sebanyak 40 peratus dan kekal 15 peratus lebih tinggi sebulan kemudian selepas aktiviti mendaki dilakukan dua kali sehari selama tiga hari. Ini kerana, menggerakkan otot sepanjang hari semasa mendaki menyebabkan banyak darah mengalir ke dalam usus. Ia penting untuk mengaktifkan fungsi usus dalam menghasilkan bakteria baik untuk meningkatkan imuniti semula jadi.

Mendaki juga adalah senaman aerobik yang menggerakkan seluruh badan untuk masa yang lama. Hasilnya, banyak kalori digunakan dan menjadikan berat badan berkurang dengan membakar lemak. Jumlah metabolisme setiap individu adalah berbeza.

KAJIAN mendapati berada dalam persekitaran semula jadi selama 90 minit boleh mengurangkan ruminasi iaitu berfikir yang keterlaluan dan bimbang yang berterusan.

Apabila kadar denyutan jantung berada dalam julat Zon 2 senaman, iaitu 60 hingga 70 peratus daripada kadar denyutan maksimum, badan pendaki membina asas aerobik dengan cekap dan meningkatkan daya tahan.

Kajian menunjukkan mendaki pada waktu pagi membantu menghasilkan melatonin iaitu hormon tidur pada waktu malam. Seorang profesor perubatan di Harvard Medical School mendapati pendedahan cahaya pagi membantu mengawal irama sirkadian, iaitu kitaran tidur-bangun dalam 24 jam.

Mendaki juga menjadikan deria pancaindera lebih sensitif dengan persekitaran. Ia membuatkan pendaki lebih berwaspada terhadap bahaya, penanda jejak atau haiwan liar yang mungkin melintasi laluan.

Kesedaran mental ini mengaktifkan hipokampus dan korteks retrosplenial iaitu bahagian otak yang mengawal memori ruang dan navigasi.

Mendaki juga membantu meningkatkan propriosepsi iaitu kesedaran minda tentang kedudukan dan pergerakan badan berhubung dengan persekitarannya.

Ketika mendaki, otak memproses setiap batu dan akar untuk melepasi halangan. Dengan latihan, otak menjadi lebih mahir dalam menilai halangan ini dan hasilnya, keseimbangan bertambah baik.

Aktiviti menguji mental seperti membaca peta, menavigasi denai dan mengharungi pendakian yang mencabar turut dilakukan ketika di bukit. Namun, dengan menggunakan peranti elektronik terkini, proses pendakian menjadi mudah dan seronok.

Jam pintar masa kini dilengkapi sistem kedudukan sejagat, pengesan kadar denyutan, pengukur ketinggian dan tekanan. Di samping itu, walkie-talkie juga dibawa untuk berhubung di kawasan tiada isyarat telefon bimbit.

Pendaki juga mengawal kelajuan dan rentak mengikut kemampuan sendiri tanpa perlu tergesa-gesa. Masa yang diluangkan di alam semula jadi boleh membangkitkan rasa tenang dan damai. Kajian menunjukkan aktiviti dalam persekitaran semula jadi selama 90 minit boleh membantu mengurangkan ruminasi iaitu berfikir yang keterlaluan dan bimbang yang berterusan.

Menurut pengarang bersama Your Brain On Nature, berada di alam semula jadi digambarkan seperti setitis morfin di dalam otak, di mana tindak balas dan hormon tekanan dikurangkan bersama, dengan hormon penenang seperti dopamin dan endorfin meningkat.

Mendaki juga adalah salah satu aktiviti ekopelancongan popular di Malaysia. Ia membolehkan pengembara mengetahui lebih lanjut tentang pelbagai ciri warisan dan etnografi, yang terletak di sekeliling denai kembara.

Kesimpulannya, aktiviti mendaki gunung memberi manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan diri serta menyumbang pendapatan setempat. Biarpun tujuan mendaki berlainan untuk setiap individu, aktiviti ini memberikan kesan positif kepada fizikal, mental, rohani, sosioemosi dan ekonomi.

 

Prof. Madya Ir. Dr. Nazrul Anuar Nayan ialah Pensyarah Kanan (Kejuruteraan Bioperubatan), Fakulti Kejuruteran & Alam Bina serta Felo Penyelidik Kanan, Institut Islam Hadhari, UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI