fbpx

Ratusan mangsa gempa bumi Sichuan masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GEMPA bumi turut menjejaskan Hailuogou di wilayah Sichuan kelmarin. – AFP

BEIJING – Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari beratus-ratus mangsa yang masih hilang di sebalik runtuhan di bahagian barat daya China semalam, selepas satu gempa bumi kuat menggegarkan bandar Kangding, wilayah Sichuan, yang telah membunuh lebih 60 orang.

Perkhidmatan cuaca tempatan berkata, situasi mungkin bertambah buruk ketika hujan diramal turun dan membanjiri kawasan tersebut.

Gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter itu tercetus pada kedalaman 10 kilometer (km), kira-kira 43.4 km di tenggara bandar Kangding pada pukul 12.52 tengah hari (waktu tempatan), kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh, lapor media tempatan setakat pagi semalam, dengan lebih 200 lagi masih terperangkap di sebuah kawasan terpencil serta ramai lagi hilang di lokasi lain.

Presiden China, Xi Jinping mengarahkan usaha bantuan besar-besaran dilakukan di rantau itu bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang terselamat,  lapor agensi berita United press International.

Gegaran turut boleh dirasai sejauh 217 km dari pusat gempa, kata pegawai.

Beberapa video yang dirakam mangsa terselamat memaparkan keretakan teruk pada banyak bangunan di wilayah itu dengan ada yang saling bersandar antara satu sama lain. Pentadbiran gempa bumi Sichuan mengaktifkan tahap amaran kepada tindak balas kecemasan kedua tertinggi.

Pihak berkuasa Wilayah Sichuan dan Wilayah Autonomi Tibet Ganzi turut mengerahkan petugas kecemasan untuk menjalankan misi bantuan bencana ke kawasan itu dengan menghantar khemah, selimut, katil bayi dan barangan lain ke kawasan yang terjejas.

Sementara itu, pusat rangkaian gempa bumi China mengukur kekuatan gempa tersebut yang dilaporkan berukuran 6.8 pada skala Richter, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut USGS, gempa bumi itu tercetus akibat gelinciran tanah di pinggir barat lembangan Sichuan. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI