PETALING JAYA – Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dilaporkan melanda di tujuh negeri sekitar Semenanjung ketika ini dan dijangka berlarutan sehingga pukul 7 petang nanti.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan antara kawasan terlibat adalah Kulim dan Bandar Baharu, Kedah serta beberapa daerah di Perak.
“Antaranya adalah Kerian, Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Sementara itu di Pantai Timur, melibatkan Marang, Dungun dan Kemaman, Terengganu serta sebahagian besar negeri Pahang seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Tambah kenyataan sama, di Selangor dan Putrajaya turut mengalami cuaca buruk bagi tempoh yang sama.
“Hujan lebat turut melanda Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan petang ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE