SAN MARINO – Juara bertahan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Fabio Quartararo mengakui kecewa selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano Ahad lalu di kedudukan kelima.
Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha itu tanpa berselindung menjelaskan, jentera YZR-M1 sudah mencapai had pada perlumbaan tersebut sehingga sukar untuk dia mengejar pelumba di kelompok hadapan.
Aksi mengecewakan itu turut menyaksikan pemenang perlumbaan dari pasukan Ducati, Francesco Bagnaia semakin menghampiri kedudukan Quartararo dalam carta kejuaraan dunia dengan perbezaan 30 mata.
“Jentera sudah mencapai had yang sudah ditetapkan pada perlumbaan tersebut. Sudah tentu saya sangat marah dan kecewa kerana saya sudah berikan aksi 100 peratus, namun gagal untuk bersaing dengan pelumba di hadapan.
“Sekiranya saya memaksa jentera melebihi had tersebut, mungkin saya tidak dapat tamatkan perlumbaan. Jentera tidak bermasalah tetapi ia sudah mencapai had yang sudah ditetapkan,” kata pelumba Perancis itu.
Tambah Quartararo, dia tidak bimbang dengan Bagnaia yang semakin mengekori rapat kedudukan dalam carta kejuaraan kerana menganggap dia menampilkan aksi lebih konsisten dalam setiap perlumbaan.
“Saya tidak bimbang dengan perebutan (kejuaraan dunia) tetapi saya juga tidak boleh terlalu tenang. Secara jujur, saya lebih konsisten berbanding Pecco (Bagnaia), namun kami ada kekurangan dari segi kelajuan jentera,” ujarnya – AGENSI