fbpx

Anak saudara pecah masuk rumah bapa saudara, joli sakan duit ratus ribu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fakhrudin (dua kiri) menunjukkan wang dan barang yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Petaling hari ini.

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang juga penganggur bertindak melarikan wang tunai hampir setengah juta beserta barang kemas berjumlah RM200,000 selepas memecah masuk rumah milik bapa saudaranya di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Lelaki berusia berusia 19 tahun itu disyaki melakukan kerja jenayah berkenaan bersama empat rakannya di rumah kosong yang disewa bapa saudaranya itu bagi menempatkan wang tunai dan sejumlah barang kemas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihak polis menerima laporan yang dibuat pengadu lelaki tempatan berumur 30-an dan bekerja sebagai pelabur mata wang asing berhubung kediamannya yang dipecah masuk pada 25 Ogos lalu.

“Pengadu menyedari kejadian itu sekitar pukul 11 pagi ketika datang ke rumah berkenaan untuk mengambil peti besi yang diletak di ruangan dapur.

“Mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM430,000 dan barang kemas bernilai RM200,000 yang mana wang tersebut merupakan hasil pelaburan mata wang asing pengadu bersama isteri sejak tahun 2020 sehingga Januari lalu,” ujarnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan pada 31 Ogos lalu pihak polis melakukan serbuan dan berjaya memberkas 11 lelaki tempatan berumur lingkungan 19 hingga 23 tahun ketika mereka berkonvoi dan berhenti rehat di sebuah stesen minyak di Seremban, Negeri Sembilan.

“Turut dirampas dua motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, enam telefon pintar dan satu beg berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan wang hasil curi.

“Siasatan lanjut terhadap suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 20-an di sebuah rumah di Klang, Selangor dan merampas satu telefon pintar, dua jam tangan berjenama, satu kamera, sebuah motosikal Kawasaki 150RR, sepasang selipar, satu kad pendaftaran motosikal serta wang tunai RM1,000,” katanya.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut di rumah 11 suspek beralamat di sekitar Klang membawa kepada rampasan pelbagai barangan dipercayai dibeli menggunakan wang hasil curi selain wang tunai berjumlah RM55,950.

“Jumlah keseluruhan rampasan adalah RM271,209, manakala baki berjumlah RM158,791 adalah perbelanjaan suspek yang tidak dapat dirampas seperti pembelian aplikasi permainan dalam talian, pembayaran bil, bayaran upah pembaikan rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai.

“Semakan mendapati wang tunai yang dicuri turut dibelanjakan suspek untuk berhibur dengan mengunjungi pusat hiburan serta diberikan kepada ahli keluarga untuk berbelanja,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin memberitahu, pengadu menyimpan wang serta barang kemas di dalam banglo satu tingkat itu yang disewa pada harga RM5,000 sebulan atas sebab tertentu.

“Rahsia mangsa menyimpan wang tunai serta barang kemas di dalam rumah itu disyaki diketahui anak saudaranya (suspek) yang kemudiannya berkomplot bersama empat rakan untuk memecah masuk kediaman berkenaan.

“Bahkan salah seorang suspek didapati menggunakan wang hasil curi berjumlah RM10,000 dan gelang emas bernilai RM10,000 sebagai hantaran pertunangan selepas polis merampas daripada tunangnya,” katanya.

Tambahnya lagi, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 1 Ogos lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI