ZANDVOORT – Prinsipal pasukan Mercedes AMG Petronas, Toto Wolff mempertahankan keputusan untuk tidak mengarahkan pelumbanya, Lewis Hamilton melakukan hentian pit pada penghujung perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda di Litar Zandvoort Ahad lalu.
Pada perlumbaan tersebut, Hamilton memiliki peluang untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan di kedudukan podium, namun percaturan yang dibuat pasukan menyaksikan juara dunia tujuh kali itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Sebaik melintasi garisan penamat, Hamilton menyelar keputusan pasukan yang hanya membenarkan rakan sepasukan, george Russell untuk melakukan hentian pit, sekali gus menyaksikan pelumba Britain itu menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Meskipun dibidas Hamilton, namun Wolff percaya keputusan yang dilakukan tepat selain menerima kritikan tersebut kerana mereka sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas mengeluarkan arahan.
“Pertama sekali, saya anggap pasukan sebagai ‘tong sampah’ yang akan akan menjadi tempat pelumba melepaskan marah. Saya faham perasaan (Hamilton) kerana dia hampir memenangi perlumbaan itu.
“Bagaimanapun, mereka tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir. Saya akui kami mengambil risiko dengan setiap keputusan dilakukan, namun apa yang dibuat adalah demi kebaikan pasukan,” katanya.
Situasi tegang antara Hamilton dan pasukan bagaimanapun tidak berlanjutan selepas pemandu berusia 37 tahun itu memohon maaf selain mengakui dia cukup kecewa kerana gagal memanfaatkan peluang memenangi perlumbaan pertama musim ini.– AGENSI