fbpx

Agong terima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seri Paduka Baginda berdua (tengah) bergambar bersama Lawrence Wong dan isteri di Istana Negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima menghadap kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan isteri, Loo Tze Lui di Istana Negara, hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua dengan Lawrence Wong telah berlangsung selama 30 minit bermula pukul 12 tengah hari tadi.

Menurut Ahmad Fadil, dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin sekian lama di antara Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Lawrence Wong yang juga Menteri Kewangan Singapura kini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia bermula pada 4 September lalu.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan sebagai negara berjiran yang mempunyai hubungan sejarah dan rakyat dengan rakyat yang mendalam, Malaysia dan Singapura perlu terus bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang dan peringkat, lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan pasca Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut bertitah, adalah penting bagi Malaysia dan Singapura sebagai jiran untuk saling melengkapi dan hubungan sosial, perdagangan serta pelaburan dapat diperkasakan ke tahap tertinggi untuk manfaat bersama, termasuklah kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Singapura atas persilaan kepada baginda untuk mengadakan Lawatan Negara ke negara itu selama tiga hari bermula 19 September nanti.

“Lawatan Negara yang telah dijadualkan ini akan mengukuhkan lagi keakraban dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“Sebaik selesai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah yang turut dihadiri Lawrence Wong, isteri dan delegasi,” ujarnya.

Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia pada tahun lepas dengan nilai dagangan berjumlah US$64.43 bilion.

Pada 2021 juga, Singapura muncul sebagai sumber terbesar pelaburan langsung asing di Malaysia dengan nilai sebanyak US$38.62 bilion, manakala jumlah pelaburan Malaysia di Singapura adalah US$25.41 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI