BANDAR RAYA MEXICO – Seorang lelaki di Mexico maut akibat dibaham buaya selepas memasuki sebuah kawasan lagun, di mana orang ramai berkumpul untuk menyaksikan penyu berenang, lapor akhbar Mirror UK, semalam.
Kejadian yang berlaku di Carpenters Lagoon, bandar Tampico itu dirakam oleh kamera yang memaparkan haiwan pemangsa itu mencengkam badan seorang perenang yang tidak bernyawa menggunakan rahangnya.
Polis tempatan berkata, mangsa yang identitinya tidak dikenal pasti itu tidak mengendahkan papan tanda amaran yang berulang kali diletakkan di sekitar lagun. Ia menasihatkan agar orang ramai tidak berenang kerana ancaman buaya.
Buaya yang dikesan dalam video yang dirakam dari dek pemerhatian di lagun itu dilihat mengheret badan mangsa dalam keadaan separuh bogel melalui perairan yang tenang sebelum hilang di bawah permukaan air dan memasuki pembetung bandar.
Pihak berkuasa menyiasat kejadian itu pada 18 Ogos lalu sebelum menemui haiwan tersebut di bawah lurang (lubang konkrit bertutup) di kawasan kejiranan Volantin, menurut demikian media Mexico Proceso.
Bomba mengambil masa satu jam untuk mengalihkan penutup logam itu sebelum tali diikat pada mulut buaya tersebut dan ia diangkat keluar.
Mayat mangsa yang sebahagiannya telah dibaham turut dikeluarkan dari pembetung itu tidak lama kemudian. – Agensi