fbpx

Banjir Pakistan tingkatkan kes denggi di wilayah Sindh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk menggunakan rakit untuk menyeberangi air banjir di pinggir bandar Sukkur, wilayah Sindh pada 1 September lalu. - AFP

ISLAMABAD – Situasi banjir di Pakistan kini semakin buruk apabila penduduk diancam pelbagai penyakit bawaan air terutamanya denggi yang mencatatkan lonjakan kes di wilayah paling teruk terjejas, Sindh, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Menurut data rasmi yang dikeluarkan kerajaan wilayah tersebut, kes demam denggi meningkat daripada 361 pada Julai lepas kepada 1,336 bulan ini dengan 257 kes dicatatkan hanya dalam tempoh empat hari pertama September.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa membangunkan 110 kem perubatan dan menempatkan 117 doktor serta 277 paramedik untuk merawat lebih 785,000 pesakit di kawasan yang terjejas dengan banjir itu.

“Nyamuk bertelur dengan pantas dan merebak ke seluruh kawasan terjejas dengan banjir di wilayah Sindh, sekali gus meningkatkan angka kes denggi harian.

“Selain denggi, kes penyakit malaria turut melonjak disebabkan pencemaran air. Banyak kawasan masih tidak dapat diakses oleh petugas kesihatan setakat ini, justeru, gambaran sebenar mengenai penyakit tersebut hanya akan diketahui selepas banjir surut,” kata jurucakap Jabatan Kesihatan Sindh, Mehar Khursheed.

Tambah Mehar, pihak berkuasa merancang untuk melaksanakan semburan asap dari udara di kawasan-kawasan terjejas dengan banjir bagi menangani penyakit-penyakit bawaan air.

“Kami sedang berusaha untuk menggunakan pesawat khas bagi tujuan semburan asap dari udara ketika situasi berkenaan penyakit bawaan air ini semakin serius,” ujarnya.

Berdasarkan satu laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Sindh, seramai 94 orang disahkan menghidap denggi Sabtu lalu, manakala 161 lagi dimasukkan ke hospital pada Khamis dan Jumaat lepas.

Sementara itu, ketua bagi sebuah kem bantuan perubatan yang dibangunkan Persatuan Kebajikan Al-Mustafa di Karachi, Dr. Muhammad Anees berkata, hampir setiap seorang daripada mangsa banjir yang mendapatkan perlindungan di bandar itu mengalami penyakit berjangkit.

“Saya telah memeriksa lebih 250 pesakit dalam tempoh dua hari lalu dan kebanyakannya didiagnos dengan masalah gastrik atau kulit. Ia berpunca daripada hujan dan banjir berterusan di kampung mereka.

“Kebanyakan pesakit mempunyai ruam di bahagian bahagian bawah lutut kerana berdiri di dalam air terlalu lama,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI