fbpx

Mahkamah: Kutip dana perlu LOS, kerajaan lemah ketika itu – saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSMAH MANSOR ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mengikuti perbicaraan kes 1MDB Najib./ FOTO SHIDIQQIN ZON

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa fakta yang menunjukkan Surat Sokongan (LOS) diperlukan oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada kerajaan untuk mengumpul dana AS$3 bilion sembilan tahun lalu menunjukkan kerajaan ketika itu lemah.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa berkata LOS diperlukan oleh 1MDB bagi tujuan projek usaha sama dengan dengan Aabar BVI Co.

Kertas cadangan mengenai keperluan 1MDB untuk mendapatkan LOS disediakan oleh Kementerian  Kewangan dan dibentangkan di Kabinet sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

“Nampak sangat kerajaan kita lemah waktu itu,” kata saksi pendakwaan ke-26 itu.

Siti Zauyah berkata demikian ketika disoal oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Tun Najib Razak.

Semasa prosiding saksi itu menafikan bahawa keperluan untuk mendapatkan LOS itu dinyatakan sendiri olehnya ketika menyediakan dokumen berkenaan.

Katanya, beliau diarahkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), ketika itu, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah untuk memasukkkan perkara terbabit di dalam kertas cadangan.

Katanya pandangan peribadinya dan Peguam Cara Negara adalah, pilihan Irwan itu bukan satu pilihan yang tepat untuk kepentingan negara.

Wan Aizuddin: Dan anda sampaikan perkara ini kepadanya?
Siti Zauyah: Ya.

Wan Aizuddin: Dan dia teruskan dengan perkara itu, adakah ia mengecewakan anda?
Siti Zauyah: Itu hak dia. Kebimbangan saya adalah untuk memaklumkan dia mengenai liabiliti negara.

Wan Aizuddin: Adakah kamu setuju bahawa apa yang dibentang ke Kabinet adalah LOS itu satu keperluan?
Siti Zauyah: Saya tidak boleh menjawab soalan itu, anda perlu tanya KSP (Irwan).

Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 69 yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI