fbpx

Tiada baki bom ikan, bahan letupan di lokasi lelaki maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan semalam.

IPOH – Tiada baki bom ikan mahupun bahan letupan dijumpai di lokasi insiden yang meragut nyawa seorang lelaki di Hutan Lipur Lata Kekabu, Lenggong semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, mangsa, Amirudin Khairudin, 44, maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 40 tahun cedera parah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, pemeriksaan di tempat kejadian dilakukan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Mohd. Yusri.

“Unit Pemusnah Bom berada di lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan berkaitan bahan yang digunakan mangsa (untuk membuat bom ikan),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang cedera parah kini menerima rawatan di Hospital Taiping.

“Kita sedang menunggu keadaan mangsa stabil terlebih dahulu sebelum menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Yusri mengesahkan kejadian yang mengorbankan seorang lelaki itu akibat terkena bahan letupan ketika menghasilkan bom ikan.

Menurutnya, mangsa dipercayai menghasilkan sendiri bom tersebut berikutan penemuan peralatan dan mercun bola.

“Peralatan itu akan dihantar ke bahagian forensik untuk tindakan lanjut dan siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI