KUALA LANGAT – Kejadian tanah runtuh yang tular di kawasan lombong bijih besi di Labohan Dagang, Banting di sini, hari ini didapati tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan selepas menerima maklumat itu menerusi media sosial petang tadi.
Kata beliau, siasatan mendapati runtuhan tanah itu berlaku kira-kira pukul 1 petang.
“Berdasarkan keterangan seorang pekerja, sebuah jentera excavator telah tertimbus ketika kejadian itu.
“Namun, pemandunya sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas Ahmad Ridhwan, usaha mengeluarkan excavator itu sedang giat dijalankan.
Tambah beliau, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian tersebut.
Terdahulu, tular dua video memaparkan runtuhan tanah melanda kawasan lombong itu yang hampir menengggelamkan sebuah lori dan jentera excavator itu.
Video itu dipercayai dirakam pekerja yang menjerit meminta supaya segera lari menyelamatkan diri bagi mengelak tertimbus runtuhan berkenaan. – KOSMO! ONLINE