JAKARTA – Beberapa siri demonstrasi bagi membantah kenaikan harga bahan api berlangsung di beberapa daerah di Indonesia dengan protes turut diluahkan di media-media sosial, lapor laman berita Detik.
Antara lokasi berlangsungnya protes termasuk di Jakarta, Makassar, Tasikmalaya, Bondowoso, Kendari, Banten, Palembang, Banda Aceh dan Mataram.
Para peserta tunjuk perasaan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat seperti pelajar universiti, pekerja termasuk pemandu teksi motosikal.
Di media sosial, tanda pagar #DukungSeptemberBergerak menjadi topik ‘trending’ sejak petang tadi dengan lebih ramai rakyat Indonesia membantah kenaikan harga minyak petrol.
Dalam pada itu, menurut stesen penyiaran CNBC Indonesia, acara tunjuk perasaan pelajar universiti yang pada awalnya berlangsung dengan aman di Jalan Merdeka Barat, Jakarta, bertukar kecoh selepas para peserta merempuh kawat berduri dan membakar tayar.
Siri demonstrasi itu dilaksanakan sebagai membantah keputusan pemerintah yang menaikkan harga bahan api bersubsidi seperti yang diumumkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) kelmarin.
Menurut Jokowi, keputusan tersebut (menaikkan harga bahan bakar) terpaksa dilakukan bagi mengelakkan belanjawan negara daripada terus meningkat disebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah global. – Agensi