fbpx

Terhutang budi, Zynakal halalkan wang dikebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZYNAKAL berharap agar tindakannya 'menghalalkan' wang yang dikebas oleh seorang individu memberi kebaikan buat arwah ibunya.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Zynakal mengakui sudah menghalalkan wang berjumlah RM120,000 yang sebelum ini didakwa disonglap individu terdekat kerana mengenangkan jasa pihak tersebut.

Pemilik nama sebenar Muhammad Raziq Rosli, 23, itu berkata, dia mahu mengelakkan diri menjadi bahan ungkitan.

Malah dia berharap keikhlasannya mampu melimpahkan pahala berganda buat ibunya, Allahyarham Zuraidah Ibrahim.

“Sebenarnya jika ikutkan keseluruhan kerugian hampir mencecah RM200,000. Memang pada awalnya saya nak tuntut semula wang itu tetapi saya halalkan saja selepas membuat pertimbangan.

“Biarpun jumlahnya besar, namun saya juga pernah terhutang budi dengannya selain nak mengelakkan diri menjadi bahan ungkitan.

“Bagi saya, kalau RM120,000 ditukar menjadi 120,000 orang di depan mata, saya cuma minta mereka sedekahkan bacaan surah al-Fatihah untuk arwah ibu.

“Itu saja. Jadi antara sebab saya halalkan adalah faktor ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman finalis bagi Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23, minggu lalu.

Secara tidak langsung, insiden yang berlaku sekitar enam bulan lalu membuatkan penyanyi merangkap komposer muda itu lebih berhati-hati memilih kawan.

Begitupun, Zynakal yang mengakui masih dihimpit fobia enggan menuding jari, sebaliknya pengalaman berkenaan diambil sebagai pengajaran berharga.

“Semua ini menjadi pengajaran tetapi saya tak mahu salahkan sesiapa. Mungkin peringatan atas kesalahan sendiri pada masa lalu.

“Cuma saya akui masih fobia dan agak trauma untuk berkawan mahupun mempercayai individu di sekeliling. Kadangkala saya tertanya-tanya betulkah ini kawan saya,” katanya.

Pada Mac lalu, penyanyi lagu Sakit itu membuat pendedahan dalam media sosial mengenai kehilangan wang simpanan melebihi RM120,000 hasil pendapatan sebagai anak seni yang didakwa perbuatan individu terdekat.

Anak saudara kepada penyanyi Zamani itu turut berkongsi foto tangkap layar aplikasi perbankan yang menunjukkan baki akaunnya yang berbaki RM19.15.

Menerusi satu lagi perkongsian, dia mendedahkan wang royalti miliknya berjumlah RM12,516.55 yang diterima daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) bagi tahun 2020 turut didakwa dikebas individu sama.

Luahan kekecewaan Zynakal meraih perhatian ramai termasuk rakan artis yang mencadangkan dia melaporkan isu tersebut kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, menerusi AIM23 yang akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 September ini, Zynakal berjaya bolos sebagai Top 5 untuk dua pencalonan.

Tak Sangka dan Orang Lain yang dihasilkan bersama beberapa rakan seperjuangan bersaing dalam kategori Lagu R&B/Hip Hop Terbaik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI