SHAH ALAM – Selepas dihimpit pelbagai kontroversi, penyanyi yang juga vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh masih belum bersedia menerima sebarang temu ramah dengan pihak media.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh pengurusan pemilik nama penuh Mohammad Noh Salleh, 37, itu kepada pihak penganjur selepas persembahannya di Konsert Midnight Havoc di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, di sini semalam.
Selepas mengakhiri persembahannya, Noh terus menaiki kereta di bahagian belakang pentas sambil diiringi beberapa pengawal peribadi.
Menerusi persembahannya, Noh muncul secara solo tanpa kehadiran ahli kumpulan Hujan lain.
Meskipun begitu, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu tetapi menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popular Hujan seperti Dugaannya, Kotak Hati dan Aku Skandal sebelum mengakhiri persembahan dengan Angin Kencang.
“Tidak sangka sokongan anda terhadap penyanyi tanah air begitu hebat.
“Terima kasih kerana membuat saya sebagai Noh Salleh atau Noh Hujan rasa berpijak di bumi yang rata sama ada berani atau tidak membuat persembahan seorang diri tanpa Hujan.
“Sokongan anda buat saya rasa lebih bersemangat. Saya pulang dengan memori yang hebat, terima kasih banyak-banyak,” katanya kepada penonton.
Selain Noh, konsert yang dihadiri lebih 5,000 penonton tersebut turut membariskan lima lagi penyanyi dan kumpulan terkenal iaitu Kugiran Masdo, K-Clique, Floor 88, Yonnyboii dan Zynakal.
Kesemua mereka berjaya mencetuskan suasana gamat dan menambah kemeriahan festival tersebut.
Untuk rekod, sejak mengumumkan berita perceraiannya dengan penyanyi Mizz Nina, Noh sehingga hari ini masih belum bersedia dan menolak ditemu ramah pihak media termasuk di beberapa konsert disertainya sebelum ini.
Sebagai info, Noh mendirikan rumah tangga dengan Nina pada 2 Julai 2011 dan mengumumkan perceraian mereka pada 4 Ogos lalu.
Sekitar April lalu, pasangan berkenaan memperkenalkan Musa sebagai anak angkat, penyeri rumah tangga mereka. – KOSMO! ONLINE