fbpx

Satu tan ikan mati di Sungai Lebir angkara perlombongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARUN (kanan) menunjukkan keadaan Sungai Lebir yang didakwa tercemar sehingga menjejaskan spesies ikan di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Seramai 500 penduduk daripada 98 buah keluarga masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq dan Bateq yang tinggal di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini mendakwa hilang sumber pendapatan apabila ikan di Sungai Lebir semakin berkurangan akibat kegiatan perlombongan.

Penghulu Kampung Pasir Ling­gi, Harun Ismail berkata, masalah itu dipercayai berpunca daripada air Sungai Lebir yang keruh dan tercemar kesan daripada kegiatan tersebut sejak lima tahun lalu.

Katanya, mereka percaya Su­ngai Lebir semakin tercemar kerana pernah menemui hampir satu tan ikan mati sejak tahun lalu.

“Pada tahun 70-an, Sungai Lebir menjadi lubuk rezeki bagi penduduk untuk menangkap ikan termasuk spesies yang sukar diperoleh seperti ikan kelah, toman, jogho dan kenerak.

“Sebelum ini, penduduk telah membuat rakit untuk menangkap ikan sungai, namun kini tidak lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Bolek Lilin, 78, berkata, penduduk kampung juga tidak berani menggunakan air sungai kerana bimbang de­ngan kejadian keracunan.

Katanya, penduduk sebelum ini bergantung dengan sungai itu untuk keperluan harian seperti mandi, air minuman dan mencuci pakaian.

“Nasib baik Jabatan Kemajuan Orang Asli membina sistem bekalan air di kampung ini.

“Jika kami guna air sungai itu, mesti kami akan terkena penya­kit atau lebih membimbangkan ia boleh membawa maut,” katanya.

Bolek berkata, kebanyakan penduduk telah berhenti menangkap ikan apabila sering kali pulang ke rumah dengan pukat kosong.

“Kebanyakan penduduk juga telah beralih melakukan kerja yang memberi pulangan lain se­perti bercucuk tanam dan menoreh getah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Amran Arifin berkata, selain Kampung Pasir Linggi, tempat lain yang turut terjejas termasuk Kampung Miak, Kampung Sungai Lepa, Kampung Susu Dara.

“Saya mengambil perhatian masalah dibangkitkan penduduk Orang Asli. Apabila sungai tercemar, kehidupan akuatik akan terjejas dan sudah tentu akan menjejaskan pendapatan penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI