MANCHESTER – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengkritik keputusan pengadil dan Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana membatalkan gol pertama pasukannya ketika tewas 1-3 kepada Manchester United malam kelmarin.
Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford itu, The Gunners membuka tirai jaringan menerusi Gabriel Martinelli hasil umpanan cemerlang daripada Bukayo Saka pada minit ke-12.
Bagaimanapun, gol itu dibatalkan selepas pengadil, Paul Tierney dan Lee Mason yang mengendalikan VAR kerana mendakwa kapten Arsenal, Martin Odegaard mengasari Christian Eriksen sebelum jaringan tersebut terhasil.
“Ia disebabkan kekurangan konsistensi. Minggu lalu mereka (Aston Villa) mendapat gol selepas melakukan kekasaran ‘lembut’ ke atas Aaron (Ramsdale). Namun, mereka (pengadil) merasakan ia tindakan tepat untuk mengesahkannya.
“Kemudian ada juga insiden penalti ke atas Bukayo (Saka oleh bek tengah Villa, Tyrone Mings) tetapi mereka katakan ia bukan penalti. Hari ini kami pula disalahkan kerana melakukan kekasaran.
“Terdapat beberapa terjahan yang kuat dan tiada kad kuning kerana orang tahu ia adalah perlawanan besar. Ia benar-benar sukar diterima,” kata Arteta.
Sementara itu, Odegaard percaya dia mencabar Eriksen secara adil dan gol daripada Martinelli sepatutnya disahkan oleh pengadil bertugas.
“Ia bukan satu kesalahan kerana pengadil melihatnya dan teruskan permainan. Ia satu cabaran yang lembut dan VAR sebenarnya tidak perlu masuk campur,” jelasnya.
Biarpun tewas tetapi Arsenal masih mengungguli carta EPL dengan 15 mata, satu mata mengatasi Manchester City dan Tottenham Hotspur yang berada di tempat kedua serta ketiga.
– AGENSI