ISLAMABAD – Pihak berkuasa Pakistan akan melepaskan air dari Tasik Manchar yang terletak di barat Sungai Indus selepas ia meningkat ke tahap amaran, lapor laman berita Wion News.
Pelepasan strategik itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan ia membanjiri seluruh wilayah Sindh di selatan negara itu.
Menteri Pengairan Sindh, Jam Khan Shoro berkata, pelepasan air tasik menerusi pemecahan tebing secara terancang akan menyebabkan 100,000 penduduk dipindahkan dari kawasan sekitar.
“Ini adalah langkah strategik bagi keselamatan kawasan yang lebih besar. Paras air banjir di bandar Johi dan Mehar di daerah Dadu akan dikurangkan dengan pelepasan air di tasik ini,” kata Jam Khan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menyatakan bagaimana dan bila 100,000 penduduk di lima daerah sekitar dipindahkan ketika proses pelepasan air dibuat.
Tasik Manchar merupakan tasik air tawar semula jadi terbesar di Pakistan dan salah satu tasik terbesar di Asia.
“Selepas benteng pecah, air akan memasuki Sungai Indus dengan melalui kampung Kiranpur dan Indus Link,” demikian menurut Jabatan Pengairan Sindh. – Agensi