fbpx

Sinergi bunga raya jadi penyatu bangsa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROY menunjukkan karya-karya bertemakan bunga raya di Artas Galeri, Kota Damansara, Selangor.

KEMERDEKAAN sesebuah negara harus dipertahankan dan sambutan ulang tahunnya diraikan oleh segenap lapisan rakyat.

Justeru, semua warga Malaysia seharusnya menyemarakkan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara yang diraikan pada tanggal 31 Ogos.

Demi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan, Artas Galeri kini menganjurkan satu pameran seni yang dinamakan sebagai Petals of Nationalism dalam usaha menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Pengarah galeri, Roy Ng berkata, pameran tersebut diadakan bagi menghangatkan lagi suasana sambutan ulang tahun kemerdekaan ini yang sudah boleh diraikan secara besar-besaran.

“Pandemik Covid-19 sebelum ini telah menyebabkan sambutan ulang tahun kemerdekaan atau Hari Kebangsaan tidak dapat diraikan dengan gilang-gemilang seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Maka kini, setelah melalui fasa peralihan endemik, kita patut memeriahkan kembali sambutannya dan atas sebab itu kami mengambil inisiatif menganjurkan pameran seni ini,” katanya kepada K2.

Pameran seni tersebut berlangsung selama dua minggu bermula 31 Ogos lalu dan berakhir pada 12 September ini.

Roy menambah, seramai 23 artis seni akan megambil bahagian dalam pameran seni itu yang berlagsung di galeri tersebut yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

“Artis seni yang menyertai pameran ini disertai oleh pelbagai peringkat kemahiran daripada graduan yang baru tamat pengajian sehinggalah pelukis yang berpengalaman. Lebih menarik, kami menghimpunkan artis seni daripada pelbagai kaum.

“Pameran ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mempamerkan karya bertemakan kemerdekaan mengikut perspektif masing-masing,” jelasnya.
Antara artis seni yang menyertai pameran tersebut termasuklah Aimman Hafizal, Fakhriq Zulkifli, Liu Cheng Hua, Lim Tong Xion, Najib Ahmad Bamadhaj, Sanker Ganesh dan ramai lagi.

CHENG HUA bersama karya lukisannya yang banyak menggunakan permainan warna.

Roy menjelaskan, lukisan yang dihasilkan oleh pelukis untuk pemeran kali ini kesemuanya perlu bertemakan bunga raya.
Menurutnya, bunga raya dipilih kerana ia adalah bunga kebangsaan.

“Pada tahun lalu, kami memilih Jalur Gemilang sebagai tema pameran dan tahun ini bunga raya dipilih kerana ia menjadi lambang negara.

“Setiap artis menzahirkan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan lukisan bertemakan bunga raya,” ujarnya.

Tambah Roy, dia amat berpuas hati kerana lukisan-lukisan yang dinukilkan artis seni yang menyertai pameran itu amat menarik sekali.

Justeru katanya, ia pasti akan menarik minat peminat-peminat atau pengumpul-pengumpul karya seni untuk mendapatkan lukisan bertemakan kemerdekaan.

Sementara itu, salah seorang artis seni, Liu Cheng Hua yang menyertai pameran tersebut mempertaruhkan sebuah lukisan bertajuk New Energy pada pameran kali ini.

Menurutnya, menerusi karya tersebut, dia mahu menggambarkan sesuatu sinergi yang terhasil daripada rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan keturunan melalui penggunaan warna primer yang juga merupakan warna Jalur Gemilang.

“Ini menggambarkan perpaduan dan keharmonian, sekali gus mampu menjelmakan suatu kegemilangan kepada negara Malaysia pada suatu hari nanti,” terangnya.

Bagi menghasilkan karya tersebut Cheng Hua mengambil masa hampir seminggu untuk menyiapkannya.Medium yang digunakannya pula adalah cat akrilik dan kepingan aluminum.

Kongsi Cheng Hua, teknik yang diterapkan dalam lukisannya adalah sapuan cat dengan penggunaan pisau palet serta teknik cetakan sutera saring pada permukaan aluminum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI