LONDON – Setiausaha Kementerian Luar Britain, Liz Truss dijangka bakal diumumkan sebagai Perdana Menteri yang baharu, lapor akhbar Metro UK semalam.
Truss dipercayai berada di landasan terbaik untuk menewaskan bekas Canselor Kewangan, Rishi Sunak, yang akan menjadikan beliau Perdana Menteri Britain ke-56.
Pengesahan keputusan itu akan diumumkan hari ini pada pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan).
Perdana Menteri semasa, Boris Johnson akan menamatkan khidmat secara rasmi esok (Selasa).
Johnson dan penggantinya akan pergi ke Istana Balmoral untuk menghadap Ratu Elizabeth II bagi pelantikan mengesahkan Perdana Menteri baharu.
Akhbar The Sunday Times melaporkan bahawa dua pemimpin itu akan terbang ke sana dengan pesawat berasingan atas sebab keselamatan.
Bakal Kabinet Truss telah menjadi subjek spekulasi sejak beberapa minggu ini tetapi pengulas politik sebulat suara mengatakan bahawa Setiausaha Perniagaan, Kwasi Kwarteng akan menjadi Canselor Kewangan.
Terdapat juga jangkaan Perdana Menteri baharu akan membuat lawatan awal ke Kiev bagi menunjukkan sokongan kepada Ukraine.
Truss sekiranya dilantik akan berdepan cabaran besar di Downing Street terutamanya bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin melambung tinggi. – Agensi