fbpx

Pokok rosak, sampah merata ‘nodai’ semangat merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN pokok hiasan yang rosak akibat dipijak orang ramai yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka baru-baru ini,
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SAMBUTAN Hari Kemerdekaan ke-65 tahun ini sangat luar biasa meriahnya, bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah di seluruh negara.

Maklumlah sudah dua tahun tidak dapat menyambutnya kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Keterujaan orang ramai me­nyambutnya amat terserlah bukan sahaja dari segi persiapan pakaian, malah ada yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk datang ke Kuala Lumpur.

Tidak kurang juga ada yang sanggup tidur di Dataran Merdeka untuk ‘cop’ tempat duduk bagi mendapat kawasan terbaik melihat perbarisan dan perarakan.

Ramai juga yang sanggup berhimpit-himpit di stesen tren transit aliran ringan (LRT) dan ada juga nekad memanjat tembok semata-mata mahu melihat perarakan dengan lebih jelas.

Betul-betul bersemangat rak­yat tahun ini menyambut Hari Kebangsaan 2022, namun apa yang menyedihkan penulis adalah sikap segelintir masyarakat yang masih belum ‘merdeka’.

Ini dapat dilihat apabila ‘lautan’ sampah memenuhi sekitar kawasan sambutan yang ditinggalkan oleh para pengunjung.

Bukan itu sahaja, pokok bunga dan tumbuhan yang ditanam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menghiasi kawasan perarakan musnah dalam tempoh kurang 24 jam sama ada menjadi mangsa akibat dipijak mahupun hilang dicuri. Inikah merdeka yang sering kita luangkan? Adakah sudah merdeka mentaliti kita selama ini?

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, pihaknya mengalami kerugian lebih RM700,000 apabila kebanyakan landskap yang dihiasi pokok bunga hiasan milik DBKL dirosakkan pengunjung ketika hari sambutan tersebut.

Menurutnya, kerosakan yang dialami sekitar Dataran Merdeka dan sepanjang laluan perarakan itu berlangsung berkemungkinan kerana kehadiran pengunjung yang terlalu ramai.

Katanya, pada hari tersebut dianggarkan hampir 200,000 pengunjung memeriahkan sam­butan itu dan ia merupakan rekod baharu dicatatkan DBKL.

“Kehadiran pengunjung yang begitu ramai semasa sambutan Hari Kemerdekaan lepas, beberapa landskap di kawasan sekitar Dataran Merdeka telah rosak.

“Saya rasa ini agak luar biasa dan mungkin rekod baharu jumlah pengunjung untuk Kuala Lumpur ketika sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Ujarnya, DBKL akan melakukan siasatan terpe­rinci ke atas insiden itu dan akan mengeluarkan satu garis panduan supaya perkara itu tidak berlaku lagi.

Sementara itu, dalam Islam juga menitikberatkan kepen­tingan menjaga kebersihan diri, kawasan sekeliling dan alam ke­rana ia telah ditekankan dalam al-Quran serta hadis.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kebersihan adalah separuh daripada iman,” (Riwa­yat Muslim).

Jadi, tidak kiralah di mana kita berada sekali pun sama ada di rumah atau di mana-mana tempat, tanggungjawab menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

Ubahlah mentaliti kita seiring dengan kemajuan negara, apa guna kita berbangga dengan kemajuan yang kita kecapi tetapi mentaliti masih berada ditakuk lama. Ingat kebersihan juga cerminan diri kita yang sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI