MARANG – Tiada kata dapat diungkapkan seorang peniaga, Hamsiah Mohamad, 58, sebaik melihat susuk tubuh lelaki yang seiras wajahnya berada di depan matanya kelmarin.
Apa tidaknya, lelaki berbangsa Cina itu, Ling Kok Ong yang kini berusia 66 tahun merupakan abang kandungnya yang telah terpisah sejak Hamsiah dilahirkan.
Kok Ong yang ditemani isterinya, Josephine Ng, 62, memberitahu, usaha mencari adik kandungnya itu bermula dengan kunjungan ke tempat mereka membesar di Bukit Besi, Dungun pada 17 Ogos lalu.
Dia yang kini menetap di Singapura menjelaskan, hasil maklumat penduduk di situ dia dimaklumkan adik perempuan kandungnya, Hasmiah kini mengusahakan kedai makan di Bukit Payung di sini.
“Penduduk Bukit Besi memberitahu keluarga angkat Hamsiah sudah berpindah sebelum kami dibantu Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun yang cuba mengatur pertemuan ini.
“Kami terus datang ke Bukit Payung dan tidak sangka dapat berjumpa semula dengannya. Saya membuat panggilan video bersama ibu serta adik beradik lain di Singapura dan mereka sangat terharu,” katanya ketika ditemui di Bukit Payung di sini hari ini.
Hamsiah pula tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila bertemu muka dengan Kok Ong buat pertama kali setelah terpisah selama 58 tahun.
Katanya, dia tidak menyangka akan dapat mengenali sekali gus berjumpa keluarga kandungnya kerana sudah terpisah lama dan dijaga keluarga angkat sejak bayi. – KOSMO! ONLINE