PUTRAJAYA- Proses pemasangan lokar di sekolah-sekolah rendah terlibat seluruh negara dijangka dimulakan pada akhir bulan ini dengan fasa pertama akan ditumpukan kepada sekolah yang mempunyai dua sesi.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, fasa pertama pemasangan lokar tersebut akan dimulakan hujung bulan ini dengan melibatkan pelajar Tahun 1 dan 2 terlebih dahulu.
“Fasa satu akan dilaksanakan di sekolah yang mempunyai dua sesi melibatkan Tahap Satu dahulu. Untuk tahap itu, ia dimulakan dengan pelajar Tahun 1 dan 2.
“Pemasangan lokar terbabit bakal dimulakan pada penghujung bulan ini. Jadi, menjelang Oktober, kita cuba ikhtiarkan supaya semua perolehan itu sampai dan dipasang semuanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Libat Urus Bersama Editor Kanan di sini tadi.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan untuk menyediakan lokar di 10,662 kelas di sekolah rendah terlibat dalam usaha menangani isu beg berat dihadapi murid.
Pelaksanaannya bakal melibatkan seramai 323,186 murid dengan peruntukan bagi Fasa 1 dijadualkan bermula 2022 dianggarkan berjumlah RM37.3 juta.
Fasa 2 penyediaan lokar pula akan diperluas kepada murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi serta dijangka dilaksanakan pada 2023.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah sekolah terlibat dengan pemasangan lokar itu, Dr. Radzi memaklumkan, perkata tersebut akan diumumkan kelak.
“Sekolah masuk kategori itu akan terima lokar dahulu, kita akan maklumkan kalau sudah tahu di mana (sekolah terlibat),” ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai pemakaian seragam sekolah kebangsaan ke Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Dr. Radzi memberitahu, perkara itu telah dipersetujui rata-rata majlis agama negeri.
“Murid-murid tidak perlu lagi bawa uniform sekolah KAFA,” katanya ringkas.
Kebenaran murid memakai pakaian uniform sekolah kebangsaan ke kelas KAFA itu merupakan antara inisiatif diperincikan KPM bagi mengurangkan beban murid ketika ke sekolah. – KOSMO! ONLINE