JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) semakin hampir merangkul kejuaraan liga selepas menewaskan pasukan Terengganu FC II 3-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan JDT II mengumpul 39 mata menerusi 17 perlawanan, tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Kelantan FC.
Ini bermakna, skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan satu mata sahaja pada aksi terakhir ketika menentang Selangor FC di tempat lawan untuk muncul juara.
Pasukan tuan rumah memecahkan kebuntuan hasil jaringan Daryl Sham yang mendapat umpanan Adam Farhan Mohd. Faizal sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin pada minit keenam.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan bimbingan Badrul Afzan Razali meningkatkan serangan bagi menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-12, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali mensia-siakan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan setelah rembatan yang dilakukan dari jarak dekat jauh tersasar daripada pintu gol.
Pada minit ke-19, Wan Mohamad Fazli hampir memberi kejutan buat pasukan JDT II namun gagal memanfaatkan hantaran silang Syafik Ismail setelah tandukannya sedikit tersasar.
Pada akhir babak pertama, Adam Farhan hampir melebarkan kedudukan namun pecubaan yang dilakukan dalam kotak penalti dinafikan penjaga gol yang menutup ruang buatnya mencipta gol.
Bersambung babak kedua, JDT II terus bernafsu untuk menambah jaringan menerusi percubaan Adam Farhan namun pemain sayap itu gagal menewaskan Syed Muhammad Nasrulhaq dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-51.
Dua minit berselang, gawang TFC II hampir dibolosi menerusi percubaan dilakukan Daryl Sham namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol lawan.
Pemain import, Moussa Sidibe turut melakukan percubaan tepat ke arah gol, bagaimanapun penjaga gol TFC II lebih bersedia dan bingkas merebahkan badan menolak keluar rembatan pemain itu pada minit ke-71.
Ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir permainan, pemain gantian, Umar Hakeem Suhar Rezwan memastikan kemenangan milik skuad Harimau Selatan apabila memanfaatkan umpanan Daryl Sham dengan melakukan tolakan ke gawang yang tidak dikawal pada minit ke-82.
Sidibe menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak gol ketiga perlawanan dengan melakukan sepakan lambung melepasi jangkauan penjaga gol memberikan kemenangan selesa buat tuan rumah. – KOSMO! ONLINE