KOTA TINGGI – Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala dua lagi terselamat selepas terlibat kemalangan bot dalam kejadian di Kampung Sungai Sembayong, Tanjung Sedili di sini petang hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, PBT Rafiee A Karim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 5.11 petang dan seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat kemalangan dua buah bot pemacing berukuran panjang 15 dan 30 kaki.
“Kemalangan menyebabkan tiga orang mangsa tercampak ke sungai dari bot 15 kaki. Dua mangsa berjaya diselamatkan orang awam dimana mangsa berusia 29 tahun cedera manakala seorang lagi berusia 38 tahun tidak alami kecederaan.
“Bagaimanapun terdapat seorang lagi mangsa berusia 35 tahun dikhuatiri masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kerja-kerja pencarian awal secara ‘surface searching’ (carian permukaan) sedang dijalankan menggunakan dua buah bot orang awam.
Menurutnya, mangsa yang cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk rawatan lanjut.
“Usaha mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan sehingga kini melibatkan pelbagai agensi,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE