KUALA SELANGOR – “Jangan bercakap tanpa fakta dan meludah ke langit namun kena di muka sendiri,” kata Tan Sri Noh Omar.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu membidas kenyataan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Ir. Izham Hashim yang menyifatkan beliau tidak menjawab persoalan isu prinsip pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang negara.
Tegas Noh, Exco Selangor itu sepatutnya bertanyakan diri sendiri faktor tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 22 bulan.
“Ketika saya menjadi pembangkang dulu, siapa kerajaan yang tiada integriti dan mencampuri urusan judisiari?
“Apabila PH menang, siapa yang mendesak bekas Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletak jawatan?
“Siapa sebenarnya yang menganggap Malaysia ini dia yang punya? Izham ini bercakap tanpa mengikut fakta dan biadap,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Zahran dan penyerahan van jenazah sumbangan Bank Rakyat di Sungai Terap di sini, petang tadi.
Khamis lalu, Kosmo! melaporkan Izham disifatkan sebagai pemimpin yang tidak matang dan tiada adab kerana menyatakan Malaysia bukan milik UMNO untuk sewenang-wenangnya memecat sesiapa.
Semalam, Izham memaklumkan kenyataan pemimpin UMNO mahu mencampuri urusan badan kehakiman dan sistem perundangan untuk menyingkirkan sesiapa yang tidak mengikut telunjuk mereka adalah memalukan dan tidak berintegriti.
Jelas Noh, parti keramat itu hanya mencadang dan menyatakan pandangan berkaitan perkara tersebut.
“Namun, mereka (kerajaan PH) sudah melaksanakannya (campur tangan politik) sebelum ini.
“Oleh sebab itu, rakyat kini boleh menilai bahawa kerajaan PH banyak menipu dan hanya memerintah dalam tempoh singkat sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, ada daripada cawangan atau Bahagian UMNO sudah menghantar nama lima calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ia adalah prosedur atau proses yang ditetapkan dan saya akan menghantar senarai itu kepada kepimpinan tertinggi parti untuk diputuskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE