fbpx

Pupuk semangat merdeka dalam kalangan warga UPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. MOHD. ROSLAN (tengah) bersama pelajar sempena Sambutan Ambang Merdeka ke-65 peringkat UPM baru-baru ini.

BAGI memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan warga universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Sambutan Ambang Merdeka ke-65 peringkat universiti itu bersama komuniti setempat dan warga kampus.

Dikenali sebagai Patriotisme@PUTRA, program itu dianjurkan pada 31 Ogos lalu.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, tanggal 31 Ogos adalah tarikh bersejarah yang perlu dihayati sepenuhnya oleh warga kampus dan pelajar bagi memupuk jati diri dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan negara.

Katanya, sambutan tersebut secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dan warga kerja UPM serta komuniti setempat dalam usaha mewujudkan semangat kekitaan dan kerja berpasukan yang lebih jitu pada masa depan.

“Selain itu, penganjuran sambutan ini juga bagi menyatakan rasa cinta kepada negara dan menzahirkan semangat patriotik yang ada dalam diri serta sebagai tanda kesyukuran kepada Allah sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65.

“Ia seiring dengan hasrat UPM menjadikan para pelajarnya yang memiliki sosok warganegara yang baik, seperti mana ditekankan dalam Naratif Naib Canselor 2022.

“Setiap tahun, tanggal 31 Ogos sentiasa menyuntik semangat bagi semua rakyat Malaysia yang akan meraikannya.

“Pada tahun ini, kita amat bertuah kerana selepas dua tahun penularan pandemik Covid-19, kita dapat meraikan hari bersejarah ini secara beramai-ramai dengan penuh semangat kekeluargaan dalam suasana Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sepanjang bulan kemerdekaan, UPM telah mengatur pelbagai bentuk aktiviti sama ada di peringkat universiti mahupun Kementerian Pengajian Tinggi.

Antaranya kata Dr. Mohd. Roslan, program Semarak Merdeka UPM 2022 yang meliputi pertandingan koir kemerdekaan, deklamasi puisi dan pertandingan kibar Jalur Gemilang, bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan kemerdekaan dan banyak lagi.

ANTARA pelajar UPM yang hadir meraikan Sambutan Ambang Merdeka ke-65 peringkat UPM.

Turut dianjurkan program Bicara Kenegaraan 2022 dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 8 September ini.

Dalam pada itu katanya, semangat merdeka perlu menjadi teras di bahu setiap warga Malaysia yang tergalas amanah untuk mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dan memahat kecintaan serta kesetiaan kepada negara.

Ia jelasnya, bagi membolehkan kemerdekaan yang kita nikmati sejak tahun 1957 dipelihara sebaiknya dengan pengisian pencapaian gemilang rakyat Malaysia.

“Dalam hal ini, setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing, tidak kira sama ada sebagai masyarakat umum, pensyarah, pentadbir, pelaksana, pelajar dan lain-lain.

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah agar dapat kita melaksanakan amanah ini dengan usaha yang terbaik supaya menjadi pemangkin kepada negara terus maju dan makmur di masa akan datang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar universiti berkenaan, Mohammad Haziq Zikri Zainuri berkata, sambutan Ambang Merdeka peringkat universiti adalah acara yang dinanti-nantikan oleh pelajar UPM.

Ini kerana katanya, ia tidak dapat dilakukan sebelum ini berikutan kekangan pandemik Covid-19.

“Saya yakin ini merupakan pengalaman yang sangat bernilai untuk kami para pelajar kerana dapat bersama-sama merasai sambutan kemerdekaan di UPM.

“Ia sekali gus menzahirkan sikap kebersamaan pelajar dan pegawai-pegawai universiti yang lain,” ujarnya.

Katanya, sambutan itu juga menjadi lebih menarik apabila pemimpin-pemimpin pelajar turut serta dalam menguruskan perjalanan majlis, selain membuat persembahan pada malam tersebut.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperkukuhkan semangat setia kepada negara.

“Ia adalah platform terbaik untuk mengeratkan perpaduan antara kaum dan warga UPM,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI