LONDON – Chelsea tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan Manchester United apabila membenam seteru London, Crystal Palace 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge malam tadi.
Meskipun menguasai sepenuhnya separuh masa pertama, pemain dengan rekod pembelian musim ini, Kai Havertz masih gagal memberikan impak buat Chelsea apabila dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Frank Lampard itu tidak menunggu lama apabila hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang bek kiri yang juga pemain terbaik perlawanan, Ben Chilwell.
Chelsea terus menggandakan jaringan pada minit ke-66 selepas bek tengah, Kurt Zouma menanduk masuk hantaran lintang daripada Chilwell.
Derita Palace berterusan apabila pemain tengah Cheslea, Jorginho menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78 untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Berselang lima minit kemudian, Jorginho sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti bagi memastikan kemenangan bergaya The Blues menerusi gol keempat.
Chelsea yang kini mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan akan berdepan Southampton pada aksi liga seterusnya di Stamford Bridge pada 17 Oktober ini. – AGENSI