fbpx

Pegawai imigresen maut dalam kejadian langgar lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nizam maut dalam kejadian langgar lari di KM83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gurun pagi tadi.

SUNGAI PETANI – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) maut manakala rakan setugasnya patah kaki selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Gurun di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Nizam Samsudin, 46, yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Imigresen di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara rakannya, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Imigresen di depot imigresen yang sama mengalami kecederaan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa masing-masing menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki KLE650.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka bergerak dari arah yang sama iaitu dari selatan menghala ke utara dalam keadaan hujan lebat.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan yang tidak diketahui melanggar bahagian belakang motosikal ditunggangi Muhammad Nizam di lorong kiri menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan.

“Berikutan itu, motosikal ditunggangi seorang lagi mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal ditunggangi rakannya yang terjatuh di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat Muhammad Nizam dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan ujian saringan Covid-19.

“Zaili Nizam turut dibawa ke HSAH untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI