fbpx

Jualan pelitup muka jatuh 80 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KKM bakal membuat keputusan kelonggaran pemakaian pelitup muka selewat-lewatnya Rabu ini. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Jualan pelitup muka merosot hampir 80 peratus selepas pema­kaiannya tidak lagi diwajibkan di kawasan terbuka bermula Mei lalu.

Seorang penjual pelitup muka, Zulkifli Ismail, 25, berkata, keadaan itu menyebabkan ramai peniaga tidak lagi berminat menjual barangan tersebut.

“Selepas tidak diwajibkan, automatik jualan turun 80 peratus. Pengeluar pun sudah kurangkan pengeluaran.

“Harganya juga sudah murah. Dahulu boleh jual RM15 sekotak kini cuma RM5. Keun­tungan jadi sangat sedikit.

“Dahulu boleh jual 1,000 kotak sebulan dan saya ada pe­langgan tetap klinik dan sebagai­nya. Sekarang sudah tiada.

“Jadi saya ambil keputusan tidak lagi jual pelitup muka sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Berkuat kuasa 1 Mei lalu, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan, tetapi atas pilihan individu.

Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Kakitangan sebuah syarikat pakaian, Sufiyah Abd. Hamid, 35, berkata, sebelum ini premisnya dapat jual 2,000 helai pelitup muka jenis fabrik sebulan.

Menurut Sufiyah, kini pihaknya berdepan kesukaran untuk mendapatkan jualan barangan itu walaupun cuma untuk 100 helai pelitup muka dalam sebulan.

Jelasnya, keadaan itu bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang menyaksikan semakin ramai tidak lagi memakai pelitup muka.

“Jualan pelitup muka di­jangka bertambah merosot apabila kerajaan dijangka tidak lagi mewajibkan pemakaiannya di tempat tertutup.

“Kami ada kira-kira 1,500 helai pelitup muka yang kami reka sendiri belum terjual. Dahulu boleh jual beratus pelitup muka sehari, kini tidak sampai 10 helai.

“Sasaran kami kini hanya mahu habiskan stok ini. Selepas itu mungkin kami tidak jual pelitup muka lagi,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI