SOFIA, Bulgaria – Seorang wanita dari Bulgaria yang mendapat perhatian ramai kerana memiliki bibir besar merancang untuk melakukan lebih banyak pembedahan plastik bagi memastikan gelaran bibir paling besar di dunia menjadi miliknya, lapor akhbar The Sun semalam.
Gadis bernama Andrea Ivanova itu mendakwa dia layak menerima gelaran tersebut selepas mendapatkan 30 suntikan asid hyaluronik pada bibirnya dalam kuantiti yang sangat banyak.
“Saya telah melakukan semua prosedur kosmetik ini di Sofia tetapi saya bercadang untuk menjalani pembedahan seterusnya untuk payudara yang lebih besar sama ada di Turkiye atau Jerman,” katanya.
Andrea memulakan transformasi dalam impian untuk menjadi ‘Barbie’ dalam kehidupan sebenar pada 2018.
Doktor yang merawatnya pernah memberi amaran agar dia memberi perhatian kepada sebarang kesakitan pada bibir besarnya kerana prosedur tambahan lain sangat berisiko menyebabkan kematian.
Penampilan Andrea itu telah menarik lebih daripada 20,000 pengikut di media sosial dan dia berkata, peminatnya yang kaya selalu menawarkan untuk membiayai percutian mewah di seluruh dunia.
“Setiap hari, ramai peminat berbeza dari seluruh dunia menghantar beribu-ribu mesej di platform media sosial dan menjemput saya bercuti di negara yang berbeza.
“Siapa tahu mungkin satu hari nanti, saya akan menerima tawaran tersebut,” ujarnya. – Agensi