fbpx

India yakin jadi negara ekonomi ketiga terbesar dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan bekerja di sebuah kilang telefon bimbit di Tamil Nadu pada 12 Julai 2019. – Getty Images

NEW DELHI – India dijangka menjadi negara ekonomi ketiga terbesar di dunia menjelang 2029, demikian menurut laporan baharu dikeluarkan State Bank of India (SBI) kelmarin, seperti dilaporkan laman berita Wion News.

Ketua Penganalisis Ekonomi SBI, Soumya Kanti Ghosh berkata, negara itu akan melepasi kedudukan Jerman pada 2027 dan Jepun pada 2029 bagi menduduki tiga tangga teratas dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekiranya kadar pertumbuhan semasa dapat dikekalkan.

Ketika Perdana Menteri, Narendra Modi mengambil alih pentadbiran pada 2014, India berada pada kedudukan ke-10 dari segi KDNK.

Sekiranya sasaran seperti laporan tersebut berjaya dicapai, lonjakan tujuh anak tangga dalam tempoh 15 tahun akan menjadi satu kejayaan bersejarah buat kerajaan Modi.

“Meskipun jangkaan pertumbuhan KDNK India bagi tahun 2023 adalah 6.7 hingga 7.7 peratus, kami berpendapat bahawa ia sukar dicapai.

“Ini kerana dengan ketidaktentuan situasi global masa kini, kami percaya bahawa pertumbuhan ekonomi enam hingga 6.5 peratus adalah sesuatu yang normal,” kata laporan tersebut.

Awal tahun ini, Pejabat Statistik Kebangsaan (NSO) mendedahkan data yang menunjukkan KDNK India berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh setahun pada suku kedua tahun ini.

Dalam tempoh tiga bulan tersebut yang berakhir 30 Jun 2022, KDNK India berkembang sebanyak 13.5 peratus.

Kadar tersebut bagaimanapun sedikit rendah berbanding 16.2 peratus yang diramal oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Rizab India.

Sementara itu, menurut laporan sama, pertumbuhan ekonomi India bakal dipacu oleh manfaat yang diperoleh negara itu daripada kelembapan pelaburan baharu di China.

Soumya berkata, keputusan syarikat gergasi teknologi, Apple baru-baru ini untuk memulakan pembuatan iPhone 14 terbaharu di India merupakan satu langkah optimistik.

“Keputusan Apple untuk mengalihkan sebahagian daripada pengeluaran iPhone 14 untuk penghantaran ke seluruh dunia dari India membuktikan keyakinan kami,” jelasnya.

Bagi mengeluarkan model iPhone 14 di India, Apple telah bekerjasama dengan para pembekal tempatan di negara itu untuk mempercepatkan kadar pengeluaran bagi mengurangkan tempoh masa pembuatan telefon pintar itu.

Sebelum ini, model iPhone 13 juga telah mula dihasilkan di India, enam hingga tujuh bulan selepas model tersebut dilancarkan pada September tahun lalu.

“Langkah Apple itu dilihat akan membuka peluang kepada konglomerat-konglomerat lain untuk mengambil tindakan sama,” kata Soumya. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI