Oleh AZAHAR HASHIM
KULIM – Sepasang suami isteri tidak pernah mengeluh, apatah lagi rasa kecewa dianugerahkan dua anak syurga yang mengalami kecacatan serta masalah kesihatan sejak dilahirkan.
Mohammad Azhar Arzemi, 28, dan isterinya, Nurul Izzati Adawiyah Mohd. Zaidi, 23, juga sentiasa tabah menjaga seorang bayi lelaki mereka, Muhammad Bilal Yusra berusia sebulan yang mengalami kecacatan tempurung kepala atau Holoprosenphaly dan sumbing.
Seorang lagi anak mereka, Nur Khaulah Al-Azwar, 3, pula mempunyai masalah pendengaran serta tulang belakang.
Menurut Nurul Izzati Adawiyah, dia difahamkan penyakit yang dihidapi Muhammad Bilal Yusra jarang berlaku di negara ini dan keadaan kepala anaknya semakin membesar sejak dilahirkan.
Katanya, ketika dilahirkan, bayinya itu seberat 3.2 kilogram (kg) dan ukur lilit kepalanya 39 sentimeter, namun kini beratnya sudah 5.2 kg serta ukur lilit kepala pula 51 sentimeter.
“Doktor menasihatkan kami supaya memantau keadaan anak kedua saya itu sepanjang masa kerana bimbang masalah kesihatannya boleh merosot pada bila-bila masa.
“Keadaan itu menyebabkan suami saya yang berkerja sebagai buruh terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu kerana perlu menjaga saya ketika berpantang dan kedua-dua anak yang juga golongan orang kelainan upaya (OKU),” katanya.
Pasangan suami isteri itu ditemui ketika menerima kunjungan Presiden Himpunan Anak Kedah Malaysia (Hakem), Mohd. Azeman Omar di rumahnya di Kampung Sungai Ular di sini semalam.
Mohammad Azhar memberitahu, anak keduanya itu juga perlu dibawa untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Kulim pada setiap hari.
Katanya, mereka kini menghadapi masalah kewangan apabila dia terpaksa berhenti kerja sejak dua bulan lalu untuk menguruskan isteri serta dua anak itu.
Orang ramai yang ingin membantu pasangan suami isteri itu boleh menghubungi mereka di talian 010-2195 301 dan 018-9419 908 atau menyalurkan ke akaun CIMB (7047468689 – Mohammad Azhar Arzemi) atau Public Bank (6874692902 – Nurul Izzati Adawiyah).