fbpx

Kerajaan negeri siap siaga hadapi banjir, tambah siren amaran banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SUNGAI SIPUT – Kerajaan negeri telah bersiap siaga dan mengambil pelbagai langkah sebagai persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir besar yang dijangka berlaku hujung November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, persediaan itu termasuk dari segi logistik, pengoperasian bilik gerakan, bekalan makanan dan pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir yang terlibat.

Mohd. Zolkafly (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Pertandingan Mewarna TSV 2022 di Dewan Rimba Panjang, Sungai Siput hari ini. FOTO ZULFACHRI ZULKIFLI

Malah beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk menambah siren amaran banjir di lokasi-lokasi berisiko berlakunya bencana itu bagi membolehkan orang ramai berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kalau dilihat keadaan iklim yang tidak menentu dengan hujan lebat yang luar biasa, kemungkinan berlaku banjir pada akhir November hingga Januari tahun hadapan.

“Jadi, kita memang telah mengambil tindakan dan bersiap sedia dalam menghadapi banjir yang mungkin berlaku bila-bila masa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Mewarna TSV 2022 anjuran bersama Kelas Tabika Perpaduan Zon Sungai Siput (U) di Dewan Rimba Panjang di sini hari ini.

Menurut beliau, pemantauan di sungai dan empangan dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan paras air dalam keadaan stabil dan tidak berbahaya.

Katanya, sekiranya air melebihi paras selamat, pihaknya akan memaklumkan kepada orang ramai agar mereka bersiap sedia sama ada dari segi pemindahan atau menyelamatkan barang masing-masing.

“(Di sepanjang Sungai Perak), memang ada siren yang dipasang bagi memberi amaran tertentu kepada penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Perak atau sungai-sungai yang besar.

“Kita akan meningkatkan (bilangan) siren ini kepada keseluruhan kawasan yang sering berlaku banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI