JOHOR BAHRU – Perbuatan seorang peniaga mengaut untung atas angin dengan menjual arak tiruan dan arak tidak bercukai pelbagai jenama mengundang padah setelah diberkas polis, Khamis lalu.
Serbuan pihak polis ke atas stor kedai runcit berkenaan pada pukul 7 malam di Jalan Riang Utama, Taman Gembira, di sini merampas 6,168 tin dan 951 botol dengan nilai keseluruhan RM305,252.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemilik kedai berusia 53 tahun itu juga ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit telah mengaut untung dengan menjual arak tiruan dan tidak bercukai sejak tiga bulan yang lalu.
“Arak tiruan dalam botol itu dipercayai diproses dan diperoleh dari tempat lain dan dijual dengan harga pasaran sekitar RM150 hingga RM170.
“Arak itu menggunakan kod QR Jabatan Kastam yang palsu bagi mengaburi mata pengguna. Pemeriksaan lanjut mendapati kod QR itu tidak boleh diimbas menggunakan aplikasi Sistem Cukai Kastam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, peniaga itu turut mengaut untung dengan menjual arak yang dibeli di zon bebas cukai dan dijual dengan harga pasaran di kedainya.
Katanya, arak tidak bercukai itu dijual sekitar RM7.50 hingga RM8 setin berbanding RM3.50 setin di kawasan zon bebas cukai dan pihaknya kini sedang menyiasat lokasi suspek memperoleh bekalan tersebut serta mengesan ahli sindiket berkenaan.
“Suspek telah direman selama 10 hari bermula Jumaat lalu hingga 11 September ini bagi membantu siasatan dijalankan sementara kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Mempengaruhi Undang-undang 1976 (penghapusan samsu gelap). – KOSMO! ONLINE