fbpx

Jabatan Imigresen sasar kutipan hasil RM4 bilion akhir tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee (tengah) ketika menyertai Larian Imigresen 2022 hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yakin dapat menyumbang lebih RM4 bilion kepada hasil negara menjelang akhir tahun ini disokong pelbagai perkhidmatan dikendalikan agensi penguatkuasaan itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sudah pun mencapai sasaran kutipan tahunan sebanyak RM3.5 bilion yang dicapai setakat 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, kutipan hasil untuk bulan-bulan berikutnya sehingga akhir tahun adalah bonus kepada pendapatan negara.

“Kebiasaannya, jumlah kutipan hasil setiap tahun sekitar RM3.5 hingga RM4.5 bilion setahun yang dicapai sebelum pandemik Covid-19. Namun, kutipan hasil bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 hanya sekitar RM2.5 bilion.

“Dengan prestasi kutipan hasil selepas pandemik yang diisifatkan agak baik, saya harap Kementerian Kewangan akan mengumumkan bonus kepada JIM menerusi pembentangan Bajet 2023 nanti,” katanya ketika ditemui selepas program Larian Imigresen 2022 di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya yakin kutipan hasil RM4 bilion dapat dicapai menerusi pelbagai cabang perkhidmatan JIM selain Program Visa Premium (PVIP) yang bakal dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober depan.

“Kutipan banyak disumbangkan daripada levi pekerja asing membabitkan 1.35 juta pekerja asing di negara ini merangkumi pembaharuan pas lawatan pekerja, kemasukan pekerja asing baharu, pasport dan kompaun ke atas mereka yang melanggar peraturan JIM.

“Peranan JIM sebenarnya jauh lebih banyak malah, skopnya lebih luas daripada itu kerana jabatan ini secara signifikan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya untuk kembali pulih selepas pandemik Covid-19,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 3,000 peserta menyertai Larian Imigresen 2022 terdiri daripada pegawai JIM, orang awam dan warga asing termasuk pelajar, pekerja asing dan ekspatriat.

Turut serta dalam larian itu termasuk Ketua Pengarah Imigresen sendiri yang berjaya menamatkan larian bagi kategori 15 kilometer (KM).

Khairul berkata, pihaknya merancang menjadikan acara larian itu sebagai program tahunan sekali gus merapatkan hubungan agensi itu dengan orang awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI