NEW YORK – Langkah ikon tenis dunia, Serena Williams pada saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) berakhir selepas tewas 5-7, 7-6, 1-6 kepada wakil Australia, Ajla Tomljanovic pada pusingan ketiga semalam.
Kekalahan tersebut menyaksikan Serena yang kini berusia 41 tahun sah ‘menggantung raket’ selepas mengumumkan persaraan bulan lalu dengan menjadikan kejohanan bertaraf Grand Slam itu sebagai kemunculan terakhirnya di gelanggang kompetitif.
Serena mengakui cukup emosi selepas mengimbau semula perjalanan lebih 25 tahun sebagai pemain profesional dengan mendedikasikan kejayaannya termasuk menjulang 23 trofi Grand Slam buat keluarganya.
“Saya sangat terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh ribuan penyokong di sini. Terima kasih kepada keluarga saya khususnya Venus Williams (kakak) kerana tanpa dia, saya tidak akan berada hingga tahap ini,” katanya.
Sementara itu, Tomljanovic mengucapkan selamat maju jaya kepada Serena selain berharap peminat tenis tidak menyalahkannya kerana keputusan ini.
“Secara jujur, saya memohon maaf disebabkan keputusan ini kerana saya juga menyukai Serena sama seperti anda. Dia adalah salah seorang idola saya dalam arena tenis antarabangsa.
“Apa yang dia lakukan sepanjang karier dan menyaksikan sejarah tersebut sewaktu kecil sangat memberi impak buat diri saya. Sudah tentu saya harap dia bahagia dengan keputusan mahu bersara,” katanya.
Selepas ini, Tomljanovic dijadualkan bertemu pemain kelahiran Rusia, Ludmilla Samsonova pada aksi pusingan keempat awal pagi esok. – AGENSI