TOKYO – Seorang wanita Jepun, Eimi Fukuda mencipta rekod wanita paling banyak dipeluk apabila berjaya memeluk 3,164 orang dalam tempoh 24 jam, lapor laman berita Mothership, baru-baru ini.
Fukada, 24, mengadakan acara itu di Shibuya, Tokyo bermula pukul 6 petang pada 27 Ogos lalu.
Apabila dia membuat pengumuman untuk mengadakan acara itu, Fukuda berkata, dia mahu menjadi ‘wanita yang paling banyak dipeluk di dunia’.
Sesi peluk-memeluk itu berakhir sehari kemudian, tepat pukul 6 petang pada 28 Ogos.
Menurut akhbar Daily Japan, Fukada hanya sekali berehat lama iaitu selama tiga jam dan beberapa kali rehat selama 10 minit sepanjang keseluruhan acara.
Dia tidak mempunyai masa untuk tidur walaupun pada waktu malam dan apabila acara itu berakhir, dia sangat keletihan.
Laman Yahoo (Jepun) melaporkan bahawa Fukada membuat beberapa pertukaran pakaian semasa acara itu.
Antaranya adalah dia memakai yukata tradisional, maskot arnab, pakaian wanita pejabat dan cheongsam.
Para peserta tidak perlu membayar untuk sesi pelukan itu tetapi rakaman gambar menerusi telefon pintar dikenakan caj 1,000 yen (RM50).
Semasa acara itu, peminat diwajibkan meletakkan tangan mereka di sisi atau belakang dan tidak boleh membalas pelukan Fukada. – Agensi