LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat memerlukan kapal perang dan peronda yang baharu serta penambahan bilangan kapal-kapal tersebut kerana sebahagian besar aset sedia ada sudah agak berusia.
Kegagalan memperolehi kapal baharu dalam jumlah dikehendaki menyebabkan TLDM terpaksa segera melakukan ‘proses kitar semula’ atau program memanjangkan hayat kapal sedia ada berikutan tempoh operasi yang tinggi yang perlu dilalui setiap kapal pasukan itu.
Menurut Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md. Ajis, 75 peratus daripada 44 kapal milik pasukan tersebut ketika ini sudah berusia lebih 40 tahun dengan ada antaranya melebihi usia 50 tahun.
“Sebagai contoh, kapal peronda laju yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun, dalam erti kata (kapal) TLDM sudah lebih usia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyambut kepulangan Kapal Diraja (KD) Lekir yang menyertai Eksesais Lingkaran Pasifik atau ‘Rim of The Pacific’ (RIMPAC) 2022, di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Menurut Abu Bakar, tempoh operasi kapal yang tinggi memerlukan TLDM sentiasa melakukan proses penyelenggaraan kapal dengan segera berikutan keadaan kapal dimiliki ‘agak berumur’, sebagai contoh KD Lekir yang baru pulang dari RIMPAC perlu melalui proses penyelenggaraan singkat untuk persediaan misi operasi yang lain pula.- KOSMO! ONLINE