KUALA LUMPUR – Pelakon Daiyan Trisha menegaskan hanya berkawan baik dengan aktor Aedy Ashraf, bukan menjalin hubungan cinta seperti sangkaan sesetengah pihak.
Katanya, mereka juga tidak berdua-duaan menyaksikan konsert Coldplay di London yang mencetuskan gosip sebelum ini, sebaliknya turut disertai beberapa rakan lain.
“Kami berkawan baik selepas terbabit dalam drama bersiri Dee The Series yang diterbitkan sekitar 2015. Memang rapat, malah sebelum ini pun bukan tak pernah kami keluar beramai-ramai.
“Apabila sama-sama minat Coldolay, jadi kami pun berjanji dengan beberapa orang lagi kawan lain yang menyukai kumpulan ini untuk menonton konsert tersebut.
“Ikutkan masing-masing ‘turun’ London pun secara berasingan. Saya dari New York melunaskan urusan kerja terlebih dahulu, manakala Aedy pula terbang dari Kuala Lumpur.
“Saya kongsikan gambar di Stadium Wembley itu pun sekadar mahu berkongsi rasa teruja dapat menyaksikan konsert band pujaan secara ‘live’,” katanya kepada Kosmo! Online.
Daiyan ditemui selepas majlis pengumuman finalis bagi Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 yang akan diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 September ini.
Terdahulu, keintiman Daiyan dan Aedy mencetuskan tanda tanya apabila mereka memuat naik gambar berdua di konsert kumpulan terkenal, Coldplay yang berlangsung di Stadium Wembley, baru-baru ini.
Perkongsian menerusi Instagram kedua-dua bintang sensasi berkenaan tentu saja meraih spekulasi nakal.
Malah dalam ruangan komen, rata-rata meninggalkan komen positif selain ada yang mendakwa mereka sedang hangat dilamun cinta.
Menerusi wawancara dengan Kosmo! Online sebelum ini, tanpa berselindung, artis jelita berusia 28 tahun itu mendedahkan tiket konsert tersebut merupakan hadiah daripada Aedy sempena ulang tahun kelahirannya, tahun lalu.
Sementara itu, Daiyan memaklumkan hanya mampu pasrah andai gosip cinta mereka terus diperkatakan biarpun sudah berulang kali membuat penafian.
Katanya, barangkali usikan rakan terdekat mereka yang suka mengaitkannya dengan aktor tersebut menjadi faktor ada yang ‘termakan’ gurauan.
“Macam baru-baru ini di sebuah majlis nama saya dipanggil untuk mewakili Aedy ke pentas. Saya tahu kawan-kawan pun sengaja mengusik.
“Bagi saya terpulang kepada sesiapa pun kalau ingin terus membuat sebarang spekulasi kerana kita tak boleh kawal pemikiran orang.
“Kalau takut dikecam tentu saja saya tak dedahkan gambar keterujaan kami itu. Tiada apa yang perlu sembunyikan sebab memang kami kawan baik, itu saja,” katanya.
Mengenai pencalonan sebagai finalis AIM23, akuinya hanya rasa syukur mampu diungkapkan apabila karya berjudul Penat yang juga kerjasama dengan penyanyi rap, Tuju tercalon dalam dua kategori.
“Saya begitu teruja dengan pencalonan ini memandangkan AIM juga sudah lama ditangguhkan. Saya gembira kerana penyanyi yang bukan dalam arus perdana seperti saya mampu lolos dalam Top 5.
“Apabila berkarya saya beri sepenuh hati sekali gus kemaraan sebagai Top 5 semakin membakar semangat untuk menghasilkan karya lebih bagus,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE