fbpx

Saya tak sombong – Bunga Isme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUNGA ISME mengakui sibuk dengan rutin sebagai pelajar sehingga terlepas pandang banyak mesej dan panggilan telefon.

KUALA LUMPUR – Penyanyi hip hop, Bunga Isme menafikan dakwaan dia mula ‘besar kepala’, sebaliknya mengakui kesibukan kuliah menyebabkannya sukar menjawab panggilan atau membalas mesej.

Kata pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari itu, semua orang harus menghormati masa dan keadaannya dengan berurusan terus melalui Warner Music Malaysia supaya tidak timbul sebarang isu.

“Saya bukan sombong atau besar kepala, sebaliknya sibuk menjalani rutin sebagai penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sambil meneruskan aktiviti seni termasuk memenuhi jadual persembahan. Mungkin terlepas pandang.

“Maaf kalau ada yang terasa malah seboleh-bolehnya saya cuba memenuhi permintaan semua pihak. Harapan saya perkara ini dapat kembali reda.

“Saya bersikap profesional. Jika ada apa-apa perkara yang ingin ditanya, harap dapat berurusan terus dengan pihak Warner Music sebagai menghormati mereka,” katanya ketika ditemui di Majlis Pengumuman Lima Calon Akhir Anugerah Industri Muzik (AIM) 23.

Bakat muda berusia 22 tahun yang menjadi sebutan selepas muncul dalam video YouTube16 Baris bersama Joe Flizzow itu turut menegaskan tidak sesekali melarikan diri andai berdepan dengan kontroversi.

Bunga berkata, sedaya upaya dia akan memberikan kerjasama mahupun mengulas setiap isu, namun seperti ditegaskan, segala urusan perlu menerusi syarikat rakamannya.

“Sekiranya berlaku kontroversi membabitkan saya, pihak Warner Music memang pernah berpesan supaya jangan diamkan diri, sebaliknya perlu tampil bagi memberikan penjelasan.

“Apa pun pihak pengurusan perlu menapis dulu jika ada yang ingin mendapatkan penjelasan kerana bimbang andai kenyataan yang dikeluarkan boleh menjejaskan nama baik saya dan syarikat rakaman.

“Bagaimanapun jika bertemu di majlis sebegini, saya tiada halangan untuk bercakap dengan media atau mana-mana pihak,” ulasnya lagi.

Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 September ini.

Sementara itu, mengenai pencalonan pertamanya dalam AIM23, Bunga bersyukur bolos sebagai Top 5 bagi kategori Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi lagu Intan Payung yang menampilkan duetnya bersama penyanyi senior Noraniza Idris.

Kegembiraannya terus berganda apabila meraih pencalonan kedua untuk kategori Lagu Pop Elektronik/ Dance Terbaik menerusi lagu Amaran bersama Siti Nordiana.

Katanya, dia sangat teruja dapat berada di kerusi finalis anugerah berprestik itu apatah lagi bagi lagu Intan Payung, liriknya dinukil bersama Siqma.

“Berdebar dan teruja bersilih ganti memandangkan ini penyertaan pertama dalam AIM. Tak sangka berjaya melangkah sebagai Top 5, kerana saya fikir diundang hari ini bagi memeriahkan majlis.

“Berpeluang membolosi dua kategori dalam acara besar ini menyuntik semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya bermutu.

“Saya ingin berterima kasih kepada penghibur senior, Noraniza Idris dan Siti Nordiana yang memberi kepercayaan kepada saya berpadu suara dengan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI