GUA MUSANG – Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas keseluruhan rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Star Baru di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang semasa mangsa, Wahab Mokhtar, 55, bersama isteri dan tiga cucu tiada di rumah.
Menurut Wahab, kebakaran dipercayai berpunca dari sebuah bilik sebelum api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan rumahnya dalam tempoh setengah jam.
“Mengikut cerita penduduk kampung, mereka melihat kawasan rumah kami berasap sebelum api terus marak.
“Kebakaran itu menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang dan kerugian hampir RM50,000 apabila kesemua barangan rumah seperti peralatan elektrik termasuk peti ais dan televisyen hangus,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.37 petang.
Katanya, seramai sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 40 kilometer dari balai.
“Semasa anggota bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5 petang, keseluruhan rumah berkenaan sudah hangus. Bagaimanapun, api berjaya dikawal 15 minit kemudian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE