PETALING JAYA – Bapa kanak-kanak lelaki yang tersalah jari sewaktu mahu memberikan isyarat ‘mini love’ pada Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
Menerusi hantaran di laman Facebook, lelaki tersebut meminta pengguna laman sosial memadamkan video tersebut memandangkan ada pihak yang mengecam.
“Assalamualaikum saudara saudari, saya sebagai bapa kepada kanak-kanak tersebut memohon maaf kepada semua. Saya memohon 10 jari agar video itu dapat diturunkan supaya tidak lagi dikecam dan menjadi asbab masalah psikologi kepada anak saya.
“Mungkin dengan jasa baik sebesar ini, Allah Taala memuliakan serta menambah rezeki yang nampak dan tidak nampak di mata,” katanya.
Pada hantaran terdahulu, bapa kanak-kanak itu memberitahu, anaknya merupakan peminat bomba dan begitu teruja apabila berpeluang terlibat dalam perbarisan biarpun perlu bangun pukul 5 pagi.
“Daripada semalam (Selasa) teruja sangat dapat pakai baju bomba. Tapi saya sebagai bapa tetap bangga akan keberaniannya turut serta walaupun bidan terjun,” ujarnya.
Rabu lalu Kosmo! Online melaporkan, gelagat peserta kanak-kanak mahu memberikan isyarat jari ‘mini love’ sebaliknya tersalah tunjuk jari lain pada Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka mengundang gelak ketawa orang ramai.
Menerusi video tular pada laman sosial, kanak-kanak lelaki itu menyertai perarakan bersama sebuah jabatan kerajaan dan berusaha menunjukkan isyarat jari ‘mini love’ kepada pengunjung.
Selain itu, kedengaran suara pengunjung memintanya berbuat demikian, namun sebaliknya terjadi apabila kanak-kanak tersebut tersalah menunjukkan jari yang lain. – KOSMO! ONLINE