PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman tidak menolak untuk ‘meminang’ Lim Teong Kim bagi menyertai keluarga The Red Warriors musim depan.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham turut mengakui sudah pun berhubung dengan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu namun sehingga kini belum ada kata putus dibuat dan perbincangan lanjut perlu dilakukan.
“Saya pun sebenarnya sudah berbual dengan Teong Kim, seorang figura yang luar biasa, begitu juga dengan Datuk K Rajagobal tetapi saya sebenarnya lebih suka untuk menggilap bintang daripada menerima bintang.
“Jadi berkemungkinan kalau mereka (Teong Kim atau Rajagobal) jadi pengarah teknikal, pengarah sukan ataupun memainkan peranan utama dalam pengurusan dan penasihat, mungkin saya boleh pertimbangkan.
“Bagi saya, tidak salah untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Pemilikan Saham TRW Kelantan FC, petang ini.
Pada majlis hari ini, Kelantan FC mengesahkan Presiden Skyrian Bhd, Nik Hsfiz Naim Nik Hassan sebagai pemilik saham lima peratus The Red Warriors bernilai RM3 juta.
Pendirian Zamsaham ini dibuat selepas mengambil kira cadangan penyokong yang turut menyenaraikan Teong Kim sebagai calon pilihan untuk mengetuai pasukan.
“Ini semua membabitkan hal perniagaan jadi sudah tentu ada harganya. Ya (berhasrat untuk dapatkan Teong Kim) jika semua terma dan syarat dipersetujui bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE