SEBERANG PERAI – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berjaya memulihkan 30 peratus daripada 10,000 kilometer denai tepi sungai menerusi program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di seluruh negara sejak dua tahun lalu.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, pemulihan denai sungai yang dijalankan dapat menjamin kelestarian alam sekitar.
“Kita telah memperuntukkan RM900,000 dibawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi pembinaan lima DSK di Pulau Pinang pada tahun ini.
“Sehingga kini, sebanyak 295 denai meliputi 671.1 kilometer panjang di seluruh Malaysia telah didaftarkan dibawah program DSK dan Pulau Pinang merekodkan sebanyak 37 denai dengan jumlah 71.4 kilometer panjang,” katanya selepas merasmikan DSK Sungai Muda, Kampung Permatang Bendahari di Penaga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Sungai Muda memiliki keunikan yang tersendiri dan ekosistemnya perlu dipulihara.
“Selain aktiviti penyelenggaraan membabitkan kerja-kerja pengorekan dan pendalaman sungai, projek ini adalah salah satu usaha sosial yang dijalankan untuk meningkatkan pembabitan masyarakat setempat.
“Pembabitan dan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dapat merealisasikan konsep pengurusan sungai secara bersepadu.
“Saya berharap projek ini dapat memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan dapat dijadikan sebagai lokasi riadah dan rekreasi,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE